Sajak
Sajak Pahlawan Ialah Dia
Abdul Ghafar Ibrahim
Dewan Sastera 2001
Pahlawan ialah warga yang mengalirkan keringat
demi menyuburkan ladang negara sayang
Pahlawan ialah warga yang menitiskan darah
demi menghidupkan simfoni negara berbilang.
Dialah pahlawan yang mengumpulkan tenaga
siap sedia
atas nama negara yang tidak dibiarkan leka
Dialah pahlawan yang menghimpunkan setia
tahan uji
atas nama negara yang tak dibiarkan mati.
Siang-siang berjaga-jaga kerana tak rela
masa depan bangsanya lena
Malam-malam waspada kerana tak sanggup
peluang bangsanya tertutup.
Khidmat cemerlangnya mengapung
pada permukaan bahang puji dan keji
Semangat wajarnya kental membara
di udara kaji dan uji.
Mentari waktu menyambar kasih sayangnya
pada keluarga semasa bertugas jauh
Bulan masa merebut tidurnya
dari sisi dikasihi oleh jadual cemas.
Dialah laskar pelindung kota penyokong desa
warga yang tekadnya disimpulmatikan
oleh jawapan sejahtera aman
dialah nadi ketahanan industri
teknologi kembangan
memikul amanah tak berkesudahan
demi mencari jawawapan makmur raya.
Tubuhnya perisai tembus peluru.
Boom-bom-boom-bamm
dia tak gentar
Tum-tam-tum-tammm
dia
tunggu
Tret-tet-tret-tett
dia terus maju.
Baktinya bunga harum warna-warni
dia tak peduli
dia tak terpegun
dia
terus tugas tekun.
Sebagai warga bangga bermaruah
dia terus gemakan gunung hasrat:
Selamatkan negara
Besar
bangsa
Pelihara agama
Daulat bahasa
Cemerlang budaya
Kerana dialah anak watan pewaris keselamatan
Kerana dialah kelompok rakyat
pengunjung amanat
yang bersandar pada sinar takwa
yang pernah mengalami erti sengsara.
Cedera di bukit
tangis di laut
jerit di udara
tempang di sempadan
buta di ladang
emas di sungai
lesu di sawah
parah di lembah
Yang menjadikan kematian bukti hidupnya
pahlawan
bukti zaman yang pernah dilindungi
zaman yang menjadi saksi
kepada nilai kemanusiaan yang megah
dipertahankan.
Comments
Post a Comment